Selasa, September 02, 2008

Cara Berbuka Yang Sihat

Artikel ini dipetik dari Akmanizam online
Masih ramai masyarakat kita yang tidak menjalani ibadat puasa..Dan tidak ramai di kalangan masyarakat kita menyedari manfaat berpuasa. Dengan membaca buku ini (Puasa Sebagai Penyembuh Penyakit, PTS)dapat meleraikan segala pertanyaan dan keraguan mengenai kewajipan dan hikmah berpuasa.
Sebelum meninggalkan meja makan, ada sesetengah orang berasa sukar bernafas, letih, dan terlalu mengantuk. Keadaan tersebut terjadi kerana tubuhnya telah terbeban oleh kandungan makanan yang menyebabkannya sukar bernafas.



Rehat Tahunan

Sebahagian orang menganggap bulan Ramadan sebagai bulan pesta makanan, bukannya bulan untuk berpuasa. Pendapat seperti itu menyebabkan mereka sanggup berbelanja besar semasa bulan Ramadan semata-mata hendak menyediakan juadah yang beraneka jenis ketika berbuka.


Akibat daripada kegelojohan itu menyebabkan mereka senang terkena penyakit kerana kejahilan mereka mengenai falsafah puasa. Pengertian sebenar di sebalik puasa ialah takwa sebagai bekal terbaik, mengambil yang halal dan menjauhi yang haram, menghindari diri dari segala bahaya, menghindarkan diri dari penghalang yang menghalang seseorang untuk mencapai cita-citanya yang memberi manfaat kebaikan kepada dirinya dan kesihatan tubuhnya.
Mereka tidak memahami dengan berpuasa seorang itu memperoleh tubuh yang kuat, akal yang cerdas dan ingatan yang kuat, menghapuskan perkara-perkara yang jahat, memelihara perut dan tubuh dari bahaya akibat banyak mengambil makanan. Sepatutnya, seorang yang berpuasa itu tidak menghentikan aktiviti-aktiviti harian mereka, malas atau menangguhkan apa yang telah dirancangnya. Seharusnya puasa menjadikan seorang itu lebih bersemangat dan berdaya saing sesuai dengan kehendak Ramadan itu sendiri.


Memenuhi Keperluan

Sebahagian orang berpendapat, apabila berada dalam bulan Ramadan mereka memerlukan bermacam jenis makanan berbanding dengan bulan-bulan lain. Sebenarnya Ramadan tidak menuntut demikian. Keperluan makanan di antara bulan Ramadan dan bulan-bulan yang lain adalah sama. Apa yang penting adalah menjaga keseimbangan dan tidak terjadi pembaziran ketika berbuka. Sekiranya bulan puasa itu dijadikan bulan pembaziran, maka rosaklah pengertian puasa yang sebenarnya. Berasa lapar ketika berpuasa adalah perkara biasa sahaja dan tidak perlu kerana lapar, kita mengambil makanan semahu-mahunya ketika berbuka kerana ia boleh membahayakan kesihatan.


Begitu juga sebaliknya, lapar yang berlebihan juga tidak baik untuk kesihatan tubuh. Ini kerana tubuh memerlukan makanan bagi mengembalikan tenaga yang hilang supaya dapat mengatur dan melancarkan aktivitinya. Hasilnya tubuh menjadi kuat untuk menunaikan perintahnya, solat dan qiamullail.


Cara Nabi Muhammad Berbuka

Anas bin Malik melaporkan Nabi Muhammad berbuka dengan memakan beberapa biji kurma basah sebelum menunaikan solat maghrib. Sekiranya tiada kurma basah, maka beliau berbuka dengan kurma kering. Sekiranya tiada kurma kering, beliau berbuka dengan beberapa teguk air. Setelah itu, barulah nabi menunaikan solat, sedangkan baginda belum selesai berbuka. Pengajaran yang diberikan oleh nabi dapat memberi manfaat kepada perut. Ianya bertujuan melancarkan sistem pencernaan.


Pada masa yang sama, kurma basah yang kaya dengan zat gula dapat memberikan tenaga dengan cepat apabila dicampurkan dengan air yang diperlukan oleh tubuh yang dalam keadaan haus. Kaedah pemakanan yang diajarkan itu sememangnya terkandung hikmah yang besar. Seorang yang sedang berpuasa berasa perutnya kekenyangan kerana terdapat peningkatan kadar zat gula dalam darah. Seterusnya, dia menunaikan solat maghrib. Sesudah itu dia kembali menyambung makan mengikut keperluan yang diperlukan tanpa berlebihan supaya dia dapat melaksanakan aktiviti dan ibadahnya dengan sempurna tanpa merasa malas dan termengah-mengah, seperti mana yang biasa dialami oleh mereka yang melampau ketika makan.
Makanan Yang Sihat

Orang yang berpuasa juga dinasihatkan supaya menjaga pemakanan mereka untuk mengelak daripada keletihan dan kelesuan. Justeru mereka digalakkan mengambil makanan seimbang. Di antara kriteria-kriteria makanan seimbang dapat dibahagikan kepada tiga bahagia, iaitu:
1.Makanan yang mengandungi zat gula (karbohidrat) seperti roti, nasi dan kuih-muih.
2.Protein yang terdiri daripada daging, telur, ikan, susu dan sayur-mayur.
3.Sayur-sayuran dan buah-buahan.


Orang yang sedang berpuasa perlu mencukupkan ketiga-tiga kategori makanan tersebut supaya mereka mendapat makanan yang sihat. Namun memperbanyakkan kategori yang ketiga iaitu sayur-sayuran dan buah-buahan adalah lebih baik kerana tubuh memerlukan zat mineral yang tinggi. Pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan sebagai pelengkap kepada vitamin adalah penting untuk mengembalikan kekuatan tubuh, kerana pada kedua-duanya itu terdapat sebatian yang tidak dapat dicerna oleh tubuh sehinggakan orang yang berpuasa sentiasa merasa kenyang. Di samping itu, zat tersebut juga penting bagi mengepam pergerakan usus dan mencegah sembelit. Sembelit adalah salah satu penyakit yang mengancam setiap orang dewasa kini. Selain itu sebatian juga berguna untuk keseimbangan zat asid darah kerana ia mengandungi unsur-unsur alkali.


Dengan kata lain, sebenarnya tidak susah memilih jenis makanan yang hendak diambil ketika berbuka dan sahur kerana ketiga-tiga kategori tersebut telah memenuhi
menu pemakanan yang sihat.


Kunyahlah Dengan Betul

Pada pendapat sesetengah orang, waktu berbuka puasa ialah masa berlumba. Justeru, mereka memakan makanannya dengan terburu-buru, gelojoh, dan tanpa dikunyah terlebih dahulu. Sedangkan makanan yang tidak dikunyah sukar untuk dicerna. Itulah salah satu punca mereka diserang penyakit lantaran melampau ketika makan. Apabila makanan tidak dikunyah dengan betul, terjadilah tompokan sisa-sisa makanan dalam usus. Tompokan-tompokan sisa tersebut menyebabkan terjadinya bakteria, pembusukan protein, berlakunya tompokan gas beracun dan unsur-unsur bahaya yang lain.


Mengunyah makanan secara tidak betul akan mendatangkan akibat buruk kepada orang yang sedang berpuasa. Kesalahan mengunyah itu juga boleh memberi kesan yang kepada saluran pencernaan. Biasanya orang yang tidak mementingkan kesihatan akan mengalami masalah pada perut dan nafasnya. Malahan ia juga boleh menyebabkan pyrosis, asid urat, mual, sembelit dan cirit-birit.


Bagi mereka yang menderita sakit jantung, mengunyah makanan secara tidak betul boleh memberi kesan yang buruk terhadap otaknya. Termasuk orang yang sihat sekali pun. Mereka mungkin mengalami sesak nafas. Kesimpulannya, mengunyah makanan secara tidak betul mendatangkan akibat buruk kepada orang yang sedang berpuasa. Kesalahan mengunyah itu juga boleh memberi kesan buruk kepada saluran pencernaan. Biasanya orang yang tidak mementingkan kesihatan ini akan mengalami masalah pada perut dan nafasnya. Malahan ia juga boleh menyebabkan pyrosis (iaitu rasa terbakar pada perut), asam urat, mual, sembelit, cirit-birit, dan mengalami masalah kesihatan yang berterusan.


Antara Berbuka Dan Sahur

Terdapat sesetengah orang yang mempergunakan jarak waktu antara berbuka dan sahur dengan memakan berjenis-jenis makanan. Mereka hanya berfikir untuk menyediakan makanan, kuih-muih, dan beraneka jenis minuman dari waktu berbuka sehingga waktu sahur. Timbulnya tanggapan tersebut kerana terdapat salah pengertian dalam mentafsirkan hakikat ibadah puasa.


Keadaan tersebut bertitik tolak dari pemahaman tentang puasa itu sendiri. Sehubungan dengan itu, orang yang berpuasa hendaklah menghindari daripada mengambil makanan secara berlebihan di antara waktu berbuka dan waktu sahur. Tujuan larangan itu adalah memberi kerehatan kepada perut dan sistem pencernaan supaya tidak kepenatan. Sekiranya mereka ingin jua menikmati makanan tersebut, hanya memakannya ketika waktu berbuka dan ketika sahur sudah memadai.


Menu Bersahur

Nabi Muhammad menekankan pentingnya sahur. Al-Bukhari melaporkan nabi berkata, ”Bersahurlah kamu kerana dalam sahur itu terdapat berkat.” Apabila bersahur,seorang akan memiliki tenaga dan kekuatan sepanjang hari. Waktu paling afdal bersahur adalah sebelum terbit fajar. Bagi yang ingin mempercepatkan sahurnya sebelum tidur, ia tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan lapar, lelah dan demam akibat mengambil zat gula dalam darah terlalu awal.


Kepada mereka yang hendak berpuasa dinasihatkan tidak meminum air terlalu banyak sesudah bersahur untuk mengelak merasa haus di waktu siang hari. Lebihan air juga boleh mendatangkan indikasi kepada otak. Seterusnya terhentinya perjalanan hormon yang boleh menyebabkan ketidaklancaran air kemih, sehingga isipadu kandungan air kemih pun semakin banyak. Sementara itu tubuh akan kehilangan banyak air. Orang yang berpuasa pasti cepat berasa haus khususnya pada musim kemarau.


Puasa Ramadan sebenarnya menjadi media untuk berasa lapar yang berguna bagi melatih diri dan tubuh. Puasa Ramadan juga bukan suatu penyeksaan yang mesti ditebus dengan makan berlebihan untuk menghilangkan rasa lapar yang seharusnya dinikmati itu.
Ramadan yang hanya datang sekali dalam setahun bertujuan melatih kita semua bersabar menghadapi pelbagai kesusahan sepanjang tahun. Sebagai amalan yang tersembunyi, Tuhan sahaja yang maha mengetahui segala rahsia orang yang berpuasa. Oleh itu dalam sebuah hadis Allah menyatakan, “Setiap amalan anak Adam adalah untuknya, kecuali puasa. Ia untukku dan akulah yang akan membalasnya.”

0 komen:

Catat Ulasan